Laporan Majlis Bicara Mesra Kepimpinan Mahasiswa
Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI) telah menganjurkan program Majlis Bicara Mesra Kepimpinan Mahasiswa yang berlangsung pada 14hb Mac 2009 bertempat di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA(UiTM) Malaysia. Majlis tersebut dihadiri kira-kira 30 wakil serta pemimpin persatuan pelajar Islam UiTM Malaysia dan Majlis tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran dengan lebih terperinci tentang permasalahan yang dihadapi oleh persatuan pelajar Islam tersebut disamping mencari ruang serta peluang yang boleh dimainkan oleh pihak DAMAI dalam usaha membantu persatuan pelajar Islam ini dalam meningkatkan tahap serta kualiti mahasiswa Islam di peringkat universiti.
Majlis Bicara Mesra Kepimpinan Mahasiswa ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg Encik Amran Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI) . Antara tetamu yang hadir pada majlis itu ialah Y.Bhg Prof. Madya Dr. Haji Muhamad Rahimi Osman, Pengarah CITU, UiTM Malaysia, wakil dari kampus UiTM Puncak Perdana serta kakitangan dari CITU, UiTM Malaysia.







